Pengasas syarikat itu, Tan Sri Dr. MP. Ramasamy berkata, kadar GST sebanyak enam peratus itu sebaliknya akan diserap ke dalam keuntungan kumpulan.

Katanya, adalah tidak adil dengan menjadikan pembeli sebagai mangsa atau menanggung beban harga yang tinggi selepas pelaksanaan GST demi menjamin industri hartanah terus berkembang.

Jelasnya, IRDKL juga sudah mendaftar dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan syarikat bersedia untuk menghadapi pelaksanaan sistem baharu cukai tersebut.

“Bagi saya, kadar enam peratus GST tidak memberi apa-apa kesan kepada kumpulan. Kami akan memikul tanggungjawab tersebut dengan menyerap kadar enam peratus dalam keuntungan kumpulan,” katanya di sini baru-baru ini.

IRDK ditubuhkan pada 1998 dengan menjalankan projek-projek pembangunan bercampur dan komersial di Lembah Klang.

Tambah Ramasamy, kerajaan juga perlu memainkan peranan dengan memperketatkan penguatkuasaan bagi mengawal harga barang mentah dalam sektor pembinaan.

Katanya, langkah itu penting bagi menghalang peningkatan harga yang tidak menentu bahan mentah seperti pasir, simen dan banyak lagi.

Beliau memberitahu, kawalan terhadap harga barang mentah pembinaan memudahkan pemaju-pemaju hartanah menjalankan projek pembangunan tanpa perlu memikirkan peningkatan kos.

“Harga barang mentah pembinaan perlu dikawal dan langkah itu harus dilakukan bagi memastikan keseimbangan industri pembinaan di negara ini,” ujarnya.